March 13, 2013

Abdullah Bin Ummi Makhtum

by Taste Of Tapah

Hari ini terasa hati ingin mencoretkan suatu cerita yang pernah aku dengar dan rasa ianya menarik untuk dikongsi.

Cerita ini diceritakan oleh Ustazah Norhafizah Musa ketika satu kuliah dahulu.
Perihal Abdullah Bin Ummi Makhtum.

***

Dia seorang yang buta. Suatu hari dia bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.

"Bolehkah aku tidak solat di Masjid, wahai Rasul Allah, kerana aku buta"

"Bolehkah kamu mendengar azan yang berkumandang di Masjid?" tanya Nabi S.A.W

"Boleh" jawab Abdullah...

"Sekiranya kamu mendengar azan, maka kamu mesti pergi" balas Nabi S.A.W

Maka semenjak itu, tidak pernah Abdullah Bin Ummi Makhtum meninggal menunaikan solat jemaah di Masjid setiap hari.

Satu pagi kaki Abdullah tersadung dan dia terjatuh, maka berdarah-darah, dan luka anggotanya, tapi beliau tetap meneruskan juga ke masjid untuk menunaikan solat.

Seketika, dia merasa dipegang tangan ketika perjalanannya ke masjid, sambil orang yang memimpinnya berkata,

"Mari aku pimpin kamu untuk ke masjid"

Semenjak itu dia dipimpin setiap kali pergi dan balik ke masjid. Setiap hari...

Satu hari Abdullah Bin Ummi Makhtum, bertanya,

"Siapakah nama kamu yang memimpin aku setiap hari ke masjid?"
Kemudian orang itu bertanya,

"Kenapa kamu ingin mengetahui siapa aku?".

Jawab Abdullah, "Aku ingin nak mendoakan kamu atas kebaikan kamu memimpin aku ke masjid"

Dengan pantas orang itu menjawap, "Aku tidak perlu kepada doa..."

Terkejut dengan jawapan tersebut berkatalah Abdullah,

"Demi Allah aku bersumpah mulai hari ini aku rela pergi sendiri. Tak perlu kamu pimpin aku lagi"

"Baiklah, jika kamu telah bersumpah sedemikian rupa, aku akan beritahu kamu siapakah aku, aku ialah IBLIS"

Terkejut dan hairanlah Abdullah bila mengetahui iblis yang memimpinnya ke Masjid setiap hari seraya bertaya,

"Sekiranya kamu iblis, kenapa kamu memimpin aku ke masjid?"

"Sebenarnya saat kau jatuh untuk ke masjid tempoh hari, aku dengar malaikat berkata, Allah mengampunkan SEPARUH DOSA kamu..." jawab iblis laknatullah.

"Oleh itu aku takut kau jatuh lagi sekali, nanti dosa kau habis terus diampunkan Allah S.W.T" .

Tambah Iblis menunjukkan dia cemburu dan tidak rela apabila Allah mengampunkan dosa manusia, kerana dia sudah berjanji untuk menyesatkan manusia.. Oleh yang demikian, iblis lebih rela memimpin Abdullah Bin Ummi Makhtum ke masjid setiap hari.

***

Lihatlah peranan Iblis. Selalu mencuba pelbagai cara menyesatkan umat manusia. Oleh itu, selalu lah kita untuk sentiasa istighfar dan bertaubat, serta mujahadah untuk melakukan sesuatu kebaikan. Sebab iblis selalu cuba memesongkan kita untuk tidak menjadi penghuni syurga dan kekasih Allah.

Berlapang hati, mujahadah lah dalam melakukan kebaikan. Hingga tiada ruang untuk syaitan masuk untuk meniupkan rasa ujub, riak dan bangga diri dalam diri kita.

Wallahu'alam

March 11, 2013

Ala-ala Fynn Jamal

by Taste Of Tapah

Lama.
Memang lama aku tak update blog ni.

Sibuk.
Memang sibuk.

Sesungguhnya demi masa manusia dalam kerugian.
kecuali yg beriman dan beramal soleh.

Selalu tak cukup masa.
Bila ada masa, tak de internet connection.

Tahun 2013.
Berpindah ke enviroment perumahan baru.
Berpindah ke tempat kerja baru.
Bakal menyambut insan baru. Dengan Izin Allah...

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
Nikmat Allah yang mana lagi yang kau ingin dustakan.

Rasa seperti aku yang baru.
Walaupun masih aku yang lama.

Beringat, zety.
Beringat.

Masa sesaat pun takkan datang semula.
Di Hari Pembalasan, Allah bertanya, apa yang kau guna untuk sesaat?

Waktu kerja kau update blog.
Waktu untuk kau beri hak didik anak-anak, kau tengok sinetron.
Waktu kau patut melayan suami, kau layan FB.

Sibuk.
Memang sibuk.

Bila masa itu kau tak uruskan.

Salah siapa?
Salah Mark Zukerberg?
Salah Station Televisyen?
atau salah Google?

Jauh.
Berulang jauh setiap hari.
Badan Penat.
Al-Quran dah mula nampak debu di kulitnya.
Solat sudah hujung-hujung waktunya.
Mana pergi mujahadah?

Masa, oh masa.
Engkau memang hak Allah.

Allah, berkatilah masa ku.
Jangan di tarik nikmat iman ini setelah Kau kurniakan....
Jangan di tarik nikmat masa ini, hingga aku hanyut dari menjalankan tugasan harian.
Berkatilah rezeki ku, untuk aku bantu keluarga ku.

Pada Mu lah aku berlindung.




sedang tidak tahu untuk buat apa dengan masa,
perlu kerja, perlu manage project kecik,
cuma hilang punca,
pada siapa nak tanya.
pada siapa nak refer.
pepandai kau lah sang Jurutera.
kononnya.
pada blog, kau mencoret sudahnya...
 


December 21, 2012

Kenangan Lalu di Akhir Tahun

by Taste Of Tapah

Satu kejadian di hari jumaat yang tenang ini begitu mengimbau akan kenangan lama ketika diri masih lagi sedang melanjutkan pelajaran di Universiti.

Belajar di Universiti swasta di Lembah Klang dan mendapat pinjaman per semester daripada sebuah Yayasan bukan lah semudah yang di sangka. Pinjaman itu lah untuk membayar asrama dan yuran serta biaya harian. Mak dan Ayah ada memberi secara bulanan, tapi apabila waktu tak cukup, tidak akan tergamak menelefon untuk mengatakan tidak cukup duit.

***

Ingat lagi kisah sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti, dengan berbekalkan Diploma, aku bekerja sebagai Site Supervisor, ada seorang pakcik di Site tempat aku bekerja menerima satu panggilan telefon. Begitu bersemangat dia bercakap dalam telefon dengan nada yang gembira! Tetapi sejurus selepas conversation berakhir dan beliau meletakkan telefon, aku lihat jauh menungnya.... Rautnya yang tadi gembira, bertukar menjadi muram. Tergerak hati bertanya pada pakcik yang agak rapat dengan diri aku ketika itu...

"Kenapa monyok je En. Mat? Tadi happy jer bercakap pung pang pung pang dalam telefon. Siapa yang call?" tegurku selamba menyibuk hal orang.

"Biasalah anak telefon......(senyap sebentar) Mintak Duit........" jawap ringkas pakcik dengan nada yang kurang bersemangat.....

Walaupun jawapannya ringkas, namun perasaannya ketika itu dapat ku selam. Pengorbanan seorang ayah kepada anak-anaknya. Bila bercakap dengan anak, seolah-olah duit itu perkara mudah baginya, namun bagaimana si ayah mendapatkan duit tersebut, itu yang membuat Pakcik jauh termenung......

Demi kejayaan anak-anak, demi tanggungjawap, Pakcik memikul tanggungjawap memberi yang terbaik kepada anak-anak walaupun perkara itu sukar. Malah anak-anak tidak perlu tahu kesukaran itu..

***

Terus wajah ibu dan ayah ku terbayang di dalam kotak fikiran. Betapa tidak pernah mereka mengeluh atau muram bila duit diminta oleh aku untuk kegunaan sekolah, yuran pengajian, lawatan sekolah, pakaian dan sebagainya. Sentiasa ada. Padahal mereka dari golongan yang biasa-biasa sahaja.

Mungkin jauh di sudut hati ibu dan ayah aku, mereka juga turut merasa payah dan merenung jauh mendapatkan segalanya keperluan buat kami adik beradik.

Semenjak peristiwa itu, aku nekad cukup lah apa yang diberi oleh ayah dan mak, jika sejumlah itu yang dihulur untuk bulan itu, itu lah aku guna...

Teringat pernah sekali dekat asrama ketika poket semakin kering, cukup lah masak nasi putih berlaukkan air garam, telur goreng kongsi berdua dengan roomate. Ketika itu nikmatnya tidaklah terkata.

Banyaklah lagi cerita-cerita yang membuatkan kita semua seorang manusia menjadi lebih kuat dan tabah.  Setiap orang melaluinya, dengan tahap keupayaan dirinya. Semua itu mematangkan kita.

Hingga apabila berhadapan dengan perkara remeh, membuatkan kita rasa apa jua pendapat orang mengenai kita tidak lah begitu penting, asal Allah tahu apa sebabnya...

Hurm itu lah dia, setiap kejayaan yang dilalui perlulah di ikuti dengan pengorbanan...

Cerita ini ku coret, hanyalah untuk aku dan anak-anak ku kelak, sentiasa ingat semua orang akan melalui cabaran hidup, sentiasa sedar ada lagi orang lebih sukar kehidupannya, dan jangan sombong bila mencapai sesuatu kesenangan.







November 4, 2012

Macam Mana Nak Buat Coleslaw?

by Taste Of Tapah

Sebab dah janji dekat last post, nak cerita macam mana nak buat coleslaw?  Ini lah dia straight forward jer nak bagi tau cara saya buat coleslaw.....


Sebelum ni dah pernah belog pasal Macam Mana Nak Buat Burger Bakar? Lepas tu pernah jugak belog pasal Macam Mana Nak Buat Roti John?... This is the next series of 'Macam Mana Nak Buat..." topic.

So here it goes, Macam Mana Nak Buat Coleslaw?

Bahan-Bahan buat coleslaw sangat la simple. Yang tak simple nak memotongnya sahaja. (-___-")

  1. Carrot
  2. Kobis Bulat
  3. Mayonis
  4. Yogurt Asli (saya tak selalu guna sebab tak selalu ada yogurt dalam fridge)
  5. Garam
  6. Serbuk Lada Hitam
  7. Lemon
Berapa portion bahan-bahan tu kena agak-agak, sebab kobis bulat tu mana ada standard size kan? Kena agak-agak, kalau besar macam tembikai tu separuh cukup kot. Kalau nak hidang dekat ramai orang kena lebih pulak portion nya.


Macam kali ni buat untuk 5 orang makan, saya gunakan separuh Medium Size Kobis Bulat yang kemudian di cincang halus.


Carrot pulak banyaknya separuh dari banyaknya kobis tadi. Cincang macam dalam gambar. Nak panjang-panjang sikit pun molek juga. Ikut la kreativiti pemotongan carrot anda.


Campurkan dan gaulkan kedua kobis dan carrot tadi, selepas itu campurkan dengan mayonis. Agak-agakla hingga berpalut mayonis tu dengan sayuran tadi. Banyak sangat pun tak OK, sebab bila simpan dalam fridge nanti dia akan berair, air sayur tu keluar. #ehyeker? 



Last sekali perahkan sedikit perahan jus lemon. Kemudian kukus, grill, panggang... hahaha percaya ker?
GURAU jer yer... Perahkan sikit jer jus lemon, nak potong muaknya mayonis tadi. Kemudian taburkan garam dan sedikit serbuk lada hitam. Agak-agak ikut citarasa anda. Kalau tak suka lada hitam atau lemon, takperlu la masukkan.

Selepas itu, sejukkan coleslaw tadi 2-3 jam di dalam fridge sebelum dihidangkan...

Tambahan: Pada yang nak guna yogurt tak perlu tambah lemon, sebab masamnya berganda nanti. Yogurt biasanya 1/2 dari jumlah mayonis yang digunakan. Katakan guna 2 sudu mayonis letak hanya 1 sudu yogurt. Tetapi saya tak guna yogurt. Hanya mayonis sahaja.

Sekian itu lah cara Macam Mana Nak Buat Coleslaw.... Coleslaw boleh dimakan dengan hidangan burger bakar, chicken chop, makaroni cheese dan western food yang lain-lain.

Selamat mencuba... Resepi di ubah sedikit daripada resipi asal dari buku Chef Hanieliza. 

-The End-




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...